Ads 468x60px

Thursday, March 20, 2014

Kolam D’Sebrang pintu masuk pelancongan Zon Utara Melalap

Siri II

Oleh HENRY BATING

KOLAM D’Sebrang yang telah menjana puluhan ribu ringgit hasil penyertaan pertandingan memancing Februari kalangan pengunjung kiranya dapat melanjutkan lawatan ke pelbagai lokasi menarik yang sedang lalu bakal menjadi pintu masuk ke pelbagai destinasi pelancongan yang ada di Zon Utara Melalap. Laluan pelancongan itu bakal direalisasikan apabila zon itu mula menerima kehadiran pelancong sempena Tour de’ Pamilaan 2014 (TdP2) pertengahan tahun ini. Pelbagai destinasi itu melibatkan Pamilaan, Ulu Tepoh, Lindopon, Pangalat, Jawa dan Sumbiling.
Pengusaha Kolam D’Sebrang, Zamri Hj Hashim berkata sejak dibuka tahun lalu, pihaknya telah menerima kunjungan ramai dan adalah baik bagi dimajukan di zon itu.

Pelbagai destinasi yang ada ketika ini termasuklah Taman Rekreasi Batu 15, Kebun Rekreasi Lindopon, lokasi kapal perang terhempas di Ulu Pangalat,  Taman Rekreasi, Perkemahan dan Perkelahan Sukim Sarat, Piolungan pertemuan dua kuala sungai, Tapak Perkemahan Leo, Perkampungan Tradisi Pamilaan Villa, kubu tentera Jepun di Mosolog dan Taman Banjaran Crocker Ulu Sumbiling.

Demi merealisasikan hasrat tersebut dengan lancar, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Melalap, Simon Mamat meminta Persatuan Alumni St Pius yang menyelaras tempat-tempat berkenaan agar mengemukakan butiran tarikan setiap lokasi bagi membolehkan pentadbiran daerah memasukkan zon berkenaan ke dalam peta destinasi pelancongan daerah Tenom.
BELIA menjadi sebahagian tonggak
 memulihara destinasi pelancongan.


“Pentadbiran daerah memang mengambil berat terhadap kewujudan pelbagai tarikan dalam kawasannya bagi menokok-tambah kewujudan Taman Pertanian Sabah di Lagud Sebrang yang selama ini telah menjadi tumpuan ramai di Malaysia,” kata Simon.
Simon menambah, Majlis Pelancongan Daerah Tenom yang sudah wujud sejak sekian lama bakal diaktifkan dengan melibatkan pelbagai pihak yang mengusahakan sektor pelancongan dan berharap dapat memasukkan zon utara Melalap sebagai destinasi baharu.
Taman Rekreasi Batu 15 merupakan kawasan perkelahan sungai yang lengkap dengan kemudahan mandi-manda, pemanggangan, pondok dan rumah inap. Manakala Kebun Rekreasi Lindopon merupakan gabungan kolam ikan, kebun buah-buahan, tapak perkemahan dan trekking.

Lokasi kapal pejuang Australia terhempas di Ulu Pangalat pula memiliki nilai sejarah yang belum diterokai. Serpihan bangkai kapal perang masih bertebaran di serata tempat dan malahan bahagian besar kapal kian tertanam dan diselaputi lumut oleh hakisan tanah. Taman Rekreasi, Perkemahan dan Perkelahan Sukim Sarat yang sedang dibangunkan menawarkan peranginan ala resort yang memiliki cafĂ©, perkelahan tepi sungai, kolam ikan, tapak perkemahan di bawah pohon-pohon semulajadi dan ‘flying fox’.
Sementara itu, Piolungan tempat pertemuan dua kuala sungai dan Tapak Perkemahan Leo dibangunkan dengan mengekalkan keaslian tumbuhan dan permukaan tanah. Di Piolungan bakal ditawarkan kepada pengkaji bidang biologi, agronomi atau klimatologi untuk menyelongkar misteri perbezaan suhu dan tumbuhan dua batang sungai yang bertemu itu. Manakala di Tapak Perkemahan Leo menawarkan suasana mencabar bagi perkemahan melakukan pelbagai aktiviti termasuk mempelajari kemahiran menoreh getah dan bersawah.
MOTOSIKAL empat roda yang terdapat di Kebun Rekreasi Lindopon.


Perkampungan Tradisi Pamilaan Villa yang memiliki lima buah rumah tradisi suku kaum Dusun Tambunan menawarkan suasana kehidupan lama masyarakat itu melalui interaksi Kaamatan. Pesta boleh diadakan pada bila-bila masa kepada perantau yang tidak sempat meraikan perayaan itu di kampung sendiri. Kubu tentera Jepun di Mosologi pula adalah tinggalan yang kian terhakis, tempat di mana kapal perang Australia ditembak sebelum jatuh di Ulu Pangalat. Di kubu itu penduduk kampung menerima cerita tentang keperitan hidup tentera Jepun pada akhir zaman pendudukan mereka di Borneo Utara.
Tidak jauh dari tempat itu, pihak Taman Sabah telah membuka Taman Banjaran Crocker di Ulu Sumbiling yang kini menjadi lokasi kajian bagi habitat fauna dan flora. Tempat ini juga boleh dikunjungi orang ramai sepanjang masa.

Baik Ketua Kampung Kg Pamilaan, KK Johnny Borok mahupun Ketua Kampung Kg Ulu Tepoh, KK Taimin Majigi, mereka sama-sama berharap agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian terhadap penyediaan kemudahan awam di tempat-tempat pelancongan yang sedang diusahakan.

Lawatan tapak tempat-tempat pelancongan hujung minggu lalu diketuai Pengerusi Persatuan Alumni St Pius, Philip Basalant diiringi pengusaha Wasai Tour, Justina Datuk Dusing.
KEBUN Rekreasi Lindopon dari satu sudut pandangan.

GABRIEL mengiringi Philip dan rombongan meninjau Kebun Rekreasi miliknya.

ZAMRI memberi taklimat kepada Justina mengenai Kolam D’Sebrang.


SUASANA pertandingan memancing di Kolam D’Sebrang.

KOLAM D’Sebrang tenang mengalu-alukan pengunjung.


ROMBONGAN lawatan tapak bergambar di Kolam D’Sebrang

Oleh : Henry Bating

Thursday, March 13, 2014

Variabel saintifik habitat ‘Dukaruk’ ditemui di Piolungan

Siri I/II

Oleh HENRY BATING

DUKARUK dimasak campur tuntul (siput sungai).
VARIABEL kajian saintifik mengenai habitat ‘Dukaruk’ ditemui di Piolungan. Piolungan adalah tempat dua kuala sungai bertemu iaitu Sungai Pamilaan di sebelah kanan dan Sungai Tailaan di sebelah kiri. Piolungan terletak di Pamilaan Villa 23km dari Pekan Tenom. Dua batang sungai itu menyerlahkan ciri berbeza.
Ketua Belia Pamilaan Villa, Julius Elip memberitahu suhu air di Sungai Pamilaan agak dingin manakala suhu air di Sungai Tailaan agak panas. Julius menambah, di sepanjang Sungai Pamilaan tumbuh liar subur di tebing dan batu berlumut satu spesies sayuran yang dalam dialek Dusun disebut ‘Dukaruk’ di mana tumbuhan itu tidak terdapat di sepanjang Sungai Tailaan.
Dalam lawatan tapak pelbagai destinasi pelancongan yang sedang diusahakan, Pengerusi Persatuan Alumni St Pius, Philip Basalant menegaskan bahawa ciri berbeza dua batang sungai itu memerlukan kajian lanjut.
“Ciri berbeza di dua batang sungai itu dapat dijadikan fokus kajian saintifik yang boleh ditawarkan kepada para pengkaji. Pertama sekali, kita perlu memastikan validiti data itu di samping mengumpul faktor-faktor berkaitan untuk dijadikan asas kalangan saintis untuk datang menjalankan kajian,” kata Philip graduan major Ukur Tanah dari United Kingdom.
DUKARUK tumbuh di tebing sungai dan pada batu berlumut.

Dukaruk adalah tumbuhan spesies keladi berwarna hijau. Dukaruk biasanya tumbuh di tebing-tebing sungai. Daun, batang dan ubi Dukaruk boleh dimasak sebagai hidangan. Dukaruk biasa dimasak campur ikan, tuntul (siput) atau pandit (usus halus) kijang. Masyarakat setempat sejak dahulu-kala telah menjadikan ‘Dukaruk’ sebagai sebahagian hidangan istimewa yang ternyata selamat dimakan kerana asli dan tidak tercemar oleh sebarang bahan kimia. Sayuran Dukaruk juga kadangkala dijual di tamu.
Dalam lawatan tapak tersebut, sebanyak enam lokasi dilawati rombongan kira-kira 30 orang dalam konvoi 10 motosikal dan 11 buah kenderaan. Destinasi pertama adalah di Kebun Rekreasi Lindopon milik Gabriel Etim, kedua Kolam D’Sebrang milik Zamri Hj Hashim, ketiga Taman Rekreasi, Perkemahan dan Perkelahan milik Sukim Sarat, keempat Piolungan pertemuan dua kuala sungai, kelima Tapak Perkemahan Leo dan keenam Perkampungan Tradisi Pamilaan Villa. Selesai lawatan tapak, mesyuarat diadakan di Dewan Sarat, Lologubon.

PERTEMUAN Sungai Pamilaan (kanan) dan Sungai Tailaan (kiri) serlah variabel kajian saintifik.

Turut hadir Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Melalap, Simon Mamat, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tenom, Sami Jiman, pengusaha Wasai Tour, Justina Datuk Dusing, Ketua Kampung Kg Pamilaan, KK Johnny Borok, Ketua Kampung Kg Ulu Tepoh, KK Taimin Majigi dan pengusaha pelancongan di Sumbiling, Chinly Moniu.
Dalam reaksinya ketika mesyuarat, Sami menyatakan pihaknya akan memanfaatkan keistimewaan semua lokasi yang dilawati apabila pihaknya mengadakan perkemahan pengakap.
“Seperti yang kita maklum, aktiviti pengakap melibatkan persekitaran alam semulajadi. Pengakap memerlukan kawasan hutan, pengakap juga memerlukan kawasan sungai dan yang paling penting amatlah baik kiranya tapak perkemahan mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, tandas awam dan tapak khidmat masyarakat seperti bersawah dan berkebun,” kata Sami.
Sami yang turut diiringi dua pemimpin pengakap menambah, “sepanjang lawatan tapak tadi, kami mendapati pohon-pohon kayu semulajadi yang dibiar tumbuh di seberang-menyeberang sungai amat sesuai direntangkan tali untuk aktiviti flying fox.”
Menurut Sami, pihaknya juga berharap dapat menubuhkan satu pasukan pengakap kembara di Pamilaan bagi membantu usaha merangsang pertumbuhan pelancongan kampung itu yang berasaskan perkemahan, perkelahan, trekking, kolam rekreasi dan kebun buah-buahan.

SAMI (kanan) adakan perbincangan menentukan tapak perkemahan pengakap


Kebun Rekreasi Lindopon dan Kolam D’Sebrang telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu dan sudah mula menerima kehadiran pelancong. Manakala Taman Rekreasi Sukim sedang dalam pembinaan untuk dijadikan sebagai mini resort, sementara Piolungan dan Tapak Perkemahan Leo dikekalkan dalam keadaan semulajadi tanpa mengganggu bentuk permukaan bumi.
Siri akhir esok mengupas ciri-ciri pelancongan yang ditawarkan di setiap enam lokasi pelancongan tersebut.


KOMBINASI sungai dan hutan jadi tapak sesuai perkemahan pengakap.




TAMAN rekreasi yang mengekalkan pohon kayu semulajadi bakal jadi tapak uji kemahiran pengakap.

SUKIM memberi taklimat kepada Philip dan Justina mengenai mini resort yang diusahakannya.

PENGAKAP boleh melakukan aktiviti ‘flying fox’ di tempat ini.


JULIUS (kiri) bersama Belia Pamilaan Villa tunggak melestari destinasi pelancongan. 

Keratan akhbar Utusan Borneo edisi 11 Mac 2014

Sunday, March 9, 2014

Homestay Pamilaan sedia tampung pelajar universiti berkampung ( Siri 4/4 )


Siri 4 (Akhir)

Oleh HENRY BATING


PHILIP BASALANT
HOMESTAY Pamilaan mempunyai kriteria yang diperlukan oleh kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menjalankan penyelidikan bahasa, sastera dan budaya termasuk mengadakan khidmat masyarakat berkaitan warisan tradisi.
Rosliah Kiting, Pensyarah Kanan bahasa Kadazandusun di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak memberitahu pelajar di fakulti itu memiliki program tinggal bersama penduduk kampung untuk menjalankan penyelidikan dan khidmat masyarakat dalam tempoh pengajian mereka.
“Aktiviti pelajar bersama penduduk disusun rapi di mana pada kebiasaannya mereka berada di suatu perkampungan dalam tempoh sehingga lima hari,” kata Rosliah ketika memberi reaksi selepas menyertai majlis sambutan rombongan tetamu pertama di Homestay Pamilaan yang terletak di lereng pinggir dataran tanah tinggi Lologubon, kira-kira 25km dari Pekan Tenom 1 Disember lalu.
Rosliah menyatakan bahawa sumber-sumber yang terdapat di kampung itu seperti warga emas sebagai responden pengetahuan tradisi, alam semulajadi untuk mengambil sampel kajian,  cara hidup bercucuk-tanam, berternak dan generasi yang masih menuturkan bahasa Kadazandusun amat sesuai sebagai lokasi pelajar memperkembangkan teori yang mereka pelajari di kampus.
“Sejauh penyelidikan dan khidmat masyarakat bekaitan dengan bahasa, sastera, budaya dan masyarakat Kadazandusun, maka Homestay Pamilaan ini memiliki kriteria untuk dijadikan sebagai lokasi,” kata Rosliah.
ROSLIAH KITING

Rosliah menambah, projek kajian dan khidmat masyarakat pelajar universiti itu pada kebiasaannya diakhiri dengan seminar, simposium atau malahan kongres juga boleh diadakan dengan menjemput para penyelidik membentangkan hasil kajian mereka.
“Seminar atau kongres itu bukan sekadar untuk peringkat daerah atau negeri, malahan untuk peringkat kebangsaan sekalipun boleh diadakan dan saya melihat Homestay Pamilaan mampu menjadi venue kepada program yang besar seperti itu,” kata Rosliah yang berasal dari Tamparuli.

Pengerusi Persatuan Alumni St Pius Pamilaan, Philip Basalant yang menyambut baik potensi Homestay Pamilaan menjadi tempat pelaksanaan Kongres Bahasa Kadazandusun Peringkat Kebangsaan memaklumkan bahawa lokasi yang sedang dimajukan menjadi destinasi pelancongan itu sudah memiliki kemudahan asas yang minimum dan sedang diperkembangkan untuk menampung keperluan rombongan yang datang.

“Tujuan kami selain membuka peluang baru sumber ekonomi kepada penduduk, kami juga berusaha untuk memberi pendedahan kepada penduduk kampung untuk mengendalikan program-program yang melibatkan masyarakat umum peringkat negeri dan kebangsaan,” kata Philip pesara Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah.
Dalam tempoh enam bulan ini, Alumni St Pius telah menyusun rangka kerja untuk memperkenalkan tiga pakej pelancongan meliputi pakej perkemahan, pakej penggambaran tradisi padi dan penghasilan kraf.
Penasihat Persatuan Alumni St Pius, Stanley P Hill dalam ucapannya menyatakan sebagai penasihat, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap apa saja program yang dijalankan persatuan khususnya dalam menjadikan Homestay Pamilaan sebagai destinasi penting pusat lawatan, pusat kajian dan pusat persidangan.
Di dataran tanah tinggi Lologubon tempat letaknya lokasi Homestay Pamilaan turut tersedia padang permainan, dewan yang dilengkapi kemudahan audio-visual, pentas dan ruang perhimpunan. Kira-kira 5km dari tempat ini terdapat air terjun (Wasai) Pamilaan yang menawarkan pengembaraan lasak pacuan empat roda, motosikal dan berjalan kaki.
Di rumah-rumah penduduk, rombongan pelawat boleh menjalankan pelbagai aktiviti seperti menjala, melastik, menarik kerbau, rampanau dan bermain gasing. Sawah penduduk turut mengalu-alukan pelawat mencuba bertani manakala kebun getah yang luas menawarkan kesempatan kepada pelawat untuk mencuba kemahiran menoreh.

Stanley diberi penghormatan menjadi rombongan tetamu pertama di lima buah rumah tradisi itu sebagai junjungan kasih terhadap komitmen beliau menjadi Guru Besar St Pius Pamilaan sejak sebelum kemerdekaan antara 1962-1966. Nama Stanley turut diabadikan pada papan tanda jalan homestay sebagai simbol kejayaan kalangan bekas muridnya memperbaiki kehidupan.
Turut hadir Ketua Kampung, KK Johnny Borok dan pengusaha Olumis Batik Borneo, Justina Datuk J.B. Dusing.

Sebarang pertanyaan mengenai pelancongan di Pamilaan boleh disampaikan kepada Setiausaha II, Stanly Leo di nombor 0198120553, Philip (0198830535) dan Justina (0195884535). 

STANLEY merasmikan ‘Jalan Homestay Pamilaan Mr Stanley P Hill’
 diperhatikan Philip dan Stanly Leo (kiri)

STANLEY bergambar bersama sebahagian bekas pelajarnya
di St Pius Pamilaan ketika menjadi Guru Besar 1962-1966

STANLEY diiringi Stanly Leo disambut penduduk


STANLEY beramah-mesra dengan penduduk sambil 
menunjukkan ‘suki linutau komis’

DARI kiri Justina, Philip, Stanley, isteri dan rombongan 
memerhatikan persembahan di hadapan rumah tradisi


SAMBUTAN ‘sinompuru’ dan kanak-kanak bercerita beramai-ramai 
menyambut ketibaan rombongan tetamu ke rumah tradisi

SEBAHAGIAN hadirin yang turut serta meraikan sambutan
 tetamu di rumah-rumah tradisi Homestay Pamilaan


ANGELINE Francis ketua rumah Lologubon memberi taklimat kepada tetamu

Oleh HENRY BATING
6 Dis 2013 @UtusanBorneo, Rencana.

 
 
Blogger Templates